Tuesday, May 10, 2011

10 EKOR BERUANG DAN GANJA


TASIK CHRISTINA: Sekumpulan beruang hitam ditemui bertindak sebagai pengawal di sebuah ladang ganja di British Columbia, Kanada.

Sepuluh beruang itu ditemui Ogos lalu apabila polis melancarkan serbuan terhadap ladang berkenaan di Tasik Christina, tenggara British Columbia. Pemilik ladang, Allen Wayne Piche, dipercayai memberi haiwan itu makanan anjing untuk mengawal kira-kira 1,000 pokok ganjanya.


Beruang terbabit yang sudah kehilangan sifat semula jadinya yang takut kepada manusia, boleh dibunuh.

Mereka menjadi begitu jinak hingga seekor daripadanya memanjat kereta polis ketika serbuan itu, kata pegawai.


Beruang itu berhibernasi sejak musim sejuk lalu. Kini, pegawai perlindungan haiwan menanti masa untuk mereka keluar daripada hibernasi sebelum memutuskan nasib beruang itu.


“Mereka akan keluar bila-bila masa,” kata Menteri Alam Sekitar British Columbia, Terry Lake.

Menurutnya, pegawai perlindungan haiwan akan memberi tumpuan untuk memastikan tidak ada individu yang memberikan mereka makan dan mengawasi beruang itu jika mereka menjadi ancaman.


Beruang itu mungkin ditempatkan semula di habitat yang sesuai atau dibunuh jika gagal untuk mencari makanan secara semula jadi. Sementara itu, pemilik ladang terbabit didakwa atas tuduhan memberi makanan kepada haiwan liar yang berbahaya.

Bagaimanapun, sehingga ini, belum ada tuduhan berkaitan dengan dadah dilakukan terhadapnya. - Agensi.

(Petikan dari Harian Metro)

No comments:

Post a Comment